IPOH – Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak RM600 pada Jun tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Nazmi Khalid, 41, membuat pengakuan tersebut selepas satu pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U6 yang bertugas di Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama telah menerima bagi dirinya suatu barang berharga sebagai balasan iaitu wang berjumlah RM600 daripada seorang wanita berusia 45 tahun melalui akaun simpanan milik tertuduh.
Penerimaan tersebut berkaitan dengan tugas rasmi apabila tertuduh memaklumkan kepada wanita berkenaan boleh membantu mengurangkan bayaran saman kompaun terhadap dua notis kesalahan berhubung kegagalan memastikan premis perniagaan berada dalam keadaan bersih serta kesalahan pekerja berkuku panjang mengikut Peraturan 11(1)(a) dan 33(1)(a) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 serta memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama sebulan jika gagal membayar denda. – KOSMO! ONLINE













