KOTA BHARU – Seorang ustazah yang dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dia pandu sebelum merempuh pelajar hingga maut di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini kelmarin berdepan hukuman denda dan penjara sekiranya disabitkan atas kesalahan tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan lanjut berhubung kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 hingga RM50,000 dan penjara antara lima hingga 10 tahun.
Menurutnya, buat masa ini, guru yang berusia 57 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman dua hari bermula semalam hingga hari ini.
“Guru tersebut akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang guru Pendidikan Islam direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh di depan surau SMK Tanjong Mas di sini.
Perintah reman terhadap wanita berusia 57 tahun yang bermula semalam hingga hari ini dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.
Terdahulu luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V di dalam kawasan SMK Tanjong Mas di sini pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di depan surau itu akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu SUV berkenaan yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu SUV jenis Honda HR-V itu sedang memandu kenderaan tersebut di dalam kawasan SMK Tanjong Mas.
“Pemandu kenderaan itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas ke depan sehingga terlanggar dua orang pelajar perempuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














