fbpx

Saya seorang ibu yang tegas dan garang – Intan Najuwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Datin Intan Najuwa mengakui dirinya merupakan seorang ibu yang garang dan tegas dalam mendidik anaknya.

Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, pendekatan tegas itu penting bagi membentuk disiplin anak sejak kecil.

“Mestilah pernah marah, setiap hari. Saya seorang ibu yang tegas dan garang. Bila saya cakap tidak, memang benar-benar tidak boleh.

“Sekarang pun saya dah mula ajar dia yang bukan semua benda dia mahu boleh dapat.

“Sejak peringkat bayi lagi saya dah mula. Kalau dia melawan pengasuh, saya akan terus masuk campur dan tegur dia masa itu juga,” katanya dalam InstaStory.

Ujar Intan, menegur atau memarahi anak atas kesilapan yang dilakukan tidak menjadikan seorang ibu sebagai individu yang kurang baik sebaliknya mahu mendidik anak menjadi individu lebih baik.

“Sejujurnya, kalau kita marahkan anak, itu tak bermakna kita adalah seorang ibu yang tidak baik.

“Itu memang sebahagian daripada tugas seorang ibu. Kita mendidik, membimbing, dan membetulkan mereka dengan cara sendiri.

“Saya juga cuba setiap hari untuk ajar Lunara berdikari bermula sekarang sebab satu hari nanti, kalau saya dan bapanya sudah tiada, saya nak dia tahu macam mana nak jaga diri sendiri, jadi kuat serta tak terlalu bergantung pada orang lain,” katanya lagi.

Tambahnya, setiap ibu bapa tidak seharusnya menyalahkan diri sendiri sekiranya menegur atau memarahi anak-anak.

“Ini bukan soal nak jadi kasar atau garang, tetapi realiti kehidupan dan saya nak dia bersedia. Jadi, janganlah rasa bersalah kalau marahkan anak-anak.

“Kadang-kadang kita memang kena buat begitu, nanti anak jadi terlalu manja pun tak boleh juga.

“Semuanya adalah tentang keseimbangan antara kasih sayang dan disiplin, kedua-duanya sama penting,” ujarnya yang kini hamil anak kedua.

Dia berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pengikut Instagramnya sama ada pernah memarahi Lunara sehingga wujud rasa gagal menjadi seorang ibu.

Sebelum ini, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ahmad Azraf pada Ogos 2023.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara pada 15 Disember 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN