JASIN – Seorang pengusaha kedai ikan bakar kerugian kira-kira RM2,000 selepas pelbagai hasil laut hidup disyaki dicuri dalam kejadian di Jalan Jeti Anjung Batu, Umbai, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa, Siti Zubaidah Zainuddin, 40, berkata, kejadian disedari selepas dia meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kira-kira pukul 12 tengah hari dan mendapati kawasan penyimpanan hasil laut berada dalam keadaan berselerak.
Menurutnya, pada malam Khamis sebelum kejadian, dia bersama suami sibuk menguruskan seorang pekerja yang sakit, manakala premis mereka pula ditutup pada hari tersebut.
“Bila tengok CCTV, saya nampak kulit mentarang berterabur atas lantai, mula-mula ingatkan memerang masuk, rupa-rupanya orang.
“Suspek datang dua kali, kali pertama sekitar pukul 1.55 pagi menaiki motosikal dan memakai baju-T sebelum mengambil kotak bekas ikan untuk diisi dengan belangkas,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek kemudiannya datang semula kira-kira pukul 3 pagi untuk mengambil guni yang diisi dengan pelbagai jenis siput.
“Antara hasil laut yang dicuri termasuk berpuluh ekor belangkas belangkas, mentarang, siput beliung, lokan dan kepah yang semuanya masih hidup bernilai kira-kira RM2,000,” ujarnya.
Siti Zubaidah berkata, laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 4 petang pada hari sama dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE














