PETALING JAYA – Sebuah lori dilaporkan terbalik di Kilometer 12.2 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Petaling Jaya, yang menyebabkan kesesakan trafik sepanjang beberapa kilometer, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.56 petang itu, insiden tersebut turut mengakibatkan tumpahan minyak di atas lebuh raya berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, empat anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya tiba di lokasi pada 3.24 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati lori berkenaan dalam keadaan terbalik berserta tumpahan minyak dan menghalang sebahagian laluan utama.
“Mangsa yang merupakan pemandu lori telah diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba. Lelaki itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan,” katanya hari ini.
Difahamkan, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak telah dilakukan oleh pihak pengurusan lebuh raya LDP dan manakala pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mencari laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE














