CAMERON HIGHLANDS – Isu sayur beracun di Cameron Highlands membuatkan pelancong lebih cenderung membeli sayur yang berlubang dan rosak sedikit bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat kandungan racun perosak.
Tinjauan Kosmo! di sekitar kawasan tumpuan pelancong di sini mendapati aktiviti jual beli sayur masih berjalan seperti biasa dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus.
Namun, pelancong kini dilihat cenderung memilih sayur yang berlubang serta rosak sedikit kerana ia dianggap menunjukkan penggunaan bahan kimia yang lebih rendah.
Peniaga sayur di Kea Farm, Shamala Devi, 55, berkata, jualan di gerainya kekal stabil walaupun berita mengenai kandungan racun di dalam sayur mendapat perhatian ramai.
“Setiap hujung minggu memang ramai pelancong datang dan mereka masih beli sayur macam biasa, tidak nampak pun jualan merosot, saya menjual sayur yang ditanam
sendiri.
“Kebanyakan pelancong yang datang tetap membeli sayur-sayuran segar seperti biasa tanpa menunjukkan kebimbangan melampau, mereka membeli sayur yang sedikit rosak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, pelanggan juga dilihat lebih peka dan sering bertanya mengenai sumber serta kaedah penanaman sayur yang dijual.
Dia memberitahu, sayur yang sedikit berlubang biasanya disebabkan dimakan serangga seperti ulat, kumbang dan
siput.
“Bila ada kesan macam itu, pelanggan anggap penggunaan racun perosak lebih terkawal berbanding sayur yang nampak terlalu sempurna,” katanya.
Seorang lagi peniaga di Habu, di sini, K. Sanmugam, 67, turut berkongsi pandangan sama apabila jualannya masih berada pada tahap memuaskan.
“Pelanggan masih datang dan beli seperti biasa. Hujung minggu memang sibuk, macam sebelum ini juga,” katanya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, sayur beracun dari daerah ini yang dihalang memasuki Singapura sama ada menggunakan racun perosak secara berlebihan atau tidak dibenarkan dikhuatiri dijual di pasaran tempatan dan berisiko menjejaskan kesihatan pengguna.
Dakwaan itu berasas apabila Singapura mengeluarkan 39 notifikasi penolakan melibatkan 14 pengeksport sayur dari daerah ini pada tahun lalu.
Timbul juga persoalan bagaimana dengan sayur-sayuran yang dijual dalam negara ini adakah dihasilkan dari ladang yang sama,
Susulan itu juga Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach). A. Dilip Martin berkata, penggunaan racun perosak yang dilarang di Cameron Highlands bukan perkara baharu kerana dipercayai sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, penguatkuasaan yang lemah menjadi punca utama racun haram itu masih digunakan di kawasan tersebut yang terkenal sebagai pusat pertanian termasuk pengeluar sayur-sayuran negara.














