BATU PAHAT – Seorang tukang urut warga Thailand yang berstatus janda didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menjalankan aktiviti persundalan dan melanggar syarat pas lawatan sosial.
Tertuduh, Phakrada Krittayakunnatham, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa mencari pelanggan di sebuah pusat urut di Jalan Bandar Baru, Ayer Hitam, dekat sini pada pukul 11 malam, 8 April lalu.
Tertuduh juga didakwa melanggar syarat pas dengan melakukan kerja sebagai tukang urut pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Seksyen 372B memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 39(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gansterisme (D7), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Batu Pahat menyerbu sebuah pusat urut yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Pemeriksaan di sebuah bilik yang ditutup dengan langsir menemui seorang lelaki dipercayai pelanggan bersama tertuduh. Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku melanggan tertuduh dengan bayaran RM200. Turut ditemui minyak urut, tisu basah, tuala, dan wang tunai.
Pemeriksaan turut mendapati, tertuduh memiliki pas lawatan sosial sehingga 24 Mei ini, namun tiada pas kerja yang membolehkan dia bekerja di negara ini.-KOSMO! ONLINE














