MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan trend ubah suai ekstrem motosikal yang tidak mempunyai sistem brek serta kesalahan lain.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, dalam operasi di sekitar negeri ini pada Ahad lalu, pihaknya menyita dua buah motosikal yang diubah suai dengan tidak memasang sistem brek.
“Tindakan itu mendatangkan risiko bahaya yang tinggi kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain. Antara kesalahan yang dikesan adalah cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans dan tidak mempamerkan nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, JPJ Melaka tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya. Orang ramai diseru supaya mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan. – KOSMO! ONLINE














