PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi tujuan kerja pembersihan dan pembaikan asas bangunan Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok, Kelantan yang terbakar semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dana untuk pembaikan asas itu turut melibatkan pendawaian elektrik dan penyambungan bekalan air bagi membolehkan sekolah itu beroperasi semula.
“Pada waktu ini, premis sekolah telah dikosongkan bagi membolehkan penilaian keselamatan dilaksanakan.
“Guru dan murid melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Fadhlina berkata, pasukan kaunselor dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan turut
digerakkan bagi melaksanakan program sokongan psikososial kepada semua murid, guru dan warga sekolah yang terjejas.
“Susulan insiden kebakaran SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, KPM telah mengambil beberapa langkah segera bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah berkenaan terpelihara,” katanya.
Semalam, tiga blok bangunan sekolah itu yang terletak di Kampung Kolam, Pak Badol terbakar dengan satu daripadanya musnah hampir 98 peratus.
Dua lagi bangunan masing-masing terbakar 80 dan 30 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Untuk maklumat, sekolah yang ditubuhkan pada 1990 itu menempatkan keseluruhan 251 pelajar dengan 112 daripadanya tinggal di asrama. – KOSMO! ONLINE














