KOTA BHARU – Kemalangan yang mengorbankan seorang remaja perempuan di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini hari ini dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1.50 tengah hari melibatkan dua orang pelajar perempuan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu SUV jenis Honda HR-V itu sedang memandu kenderaan tersebut di dalam kawasan SMK Tanjong Mas.
“Pemandu kenderaan itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas ke depan sehingga terlanggar dua orang pelajar perempuan.
“Kedua-dua mangsa ketika itu sedang memakai kasut di depan surau sekolah tersebut sebelum SUV berkenaan terbabas merempuh tiang batu surau,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Azmir memberitahu, kemalangan itu menyebabkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini untuk dbedah siasat.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini manakala pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, pemandu SUV itu merupakan guru di sekolah tersebut.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dipercayai dirempuh sebuah SUV jenis Honda HR-V di dalam kawasan SMK Tanjong Mas di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala. – KOSMO! ONLINE














