JITRA – Kumpulan warga India yang sebelum ini dilihat ‘membanjiri’ Stesen Bas Tanah Merah, di sini, selama tiga hari berturut-turut minggu lalu tidak lagi kelihatan sejak kelmarin, berkemungkinan telah berpindah ke lokasi lain.
Tinjauan Kosmo! mendapati, stesen bas yang dijadikan lokasi transit baharu warga asing tersebut sebelum bertolak ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru dipercayai untuk bekerja sunyi sepi tanpa kelibat individu membawa beg besar atau bagasi.
Menurut pekerja syarikat bas yang mahu dikenali sebagai Aina, 38, kumpulan warga asing itu kemungkinan tidak lagi menaiki bas di situ selepas isu tersebut disiarkan di akhbar dan media sosial.
“Mungkin ada rakan mereka yang minta jangan ambil bas di Changlun dan Jitra kerana takut diperiksa pihak berkuasa.
“Selepas ini mungkin mereka cari stesen bas kecil lain seperti di Kuala Nerang,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, terdapat beberapa pegawai imigresen yang datang ke stesen bas berkenaan pada kelmarin dan semalam bagi membuat pemeriksaan di situ.
“Memang dah tak ada (warga India), mula-mula di Changlun lepas tu datang ke Jitra. Selepas ini tak tahulah apa taktik mereka.
“Tiga hari berturut-turut sejak Selasa lalu saya nampak ramai warga India di stesen bas ini. Mereka datang secara berperingkat, ada datang pagi tetapi tak ramai yang mana waktu puncak sebelah malam,” ujarnya.
Katanya, terdapat seorang daripada warga asing itu mahu menukar wang baht Thailand yang hanya bernilai kira-kira RM4 untuk membeli tiket bas.
“Dia dakwa tak dak duit sebelum ada yang memberi wang kepadanya untuk beli tiket dan naik bas sebelah malam,”
ujarnya.
Menurutnya, ramai dalam kalangan warga asing berkenaan berehat dan tidur di tempat duduk di stesen bas sementara menunggu bas masing-masing.
“Setiap bas lebih 10 orang warga India naik, mereka ini berpecah-pecah. Ada yang kata datang ke stesen bas ini dengan teksi dari Stesen Bas Changlun,” jelasnya.
Seorang peniaga lagi, Fadzrul Nizam, 33, berkata, kumpulan warga India itu bagaikan ‘ghaib’ selepas isu berkenaan tular dan disiarkan akhbar ini.
“Nak cakap pun kena guna bahasa isyarat kerana hanya dua tiga orang sahaja boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Ada yang datang ke kedai untuk pinjam WiFi untuk mereka hubungi seseorang,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohamad Najib, 43, berkata, tiada lagi warga India mencurigakan kelihatan di Jitra dan Changlun selepas isu berkenaan disiarkan
akhbar.
“Mereka macam tahu selepas berita di Jitra ini keluar, saya ronda-ronda tengok dah tak nampak (warga India),” ujarnya.
Kosmo! pada 3 April lalu melaporkan penduduk dan peniaga di Changlun mendakwa ramai warga India kini menjadikan pekan itu sebagai lokasi transit sebaik melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru.
Kira-kira 90 peratus daripada mereka adalah lelaki berusia 18 hingga 45 tahun yang masuk ke negara ini secara berkumpulan dengan membawa beg galas serta bagasi besar.
Dalam perkembangan sama, Kosmo! kelmarin melaporkan warga asing didapati beralih ke Jitra dengan menjadikan Stesen Bas Tanah Merah di sini lokasi mereka berkumpul dengan modus operandi sama sejak beberapa hari lalu.
Kemasukan mereka menimbulkan kecurigaan iaitu sama ada sebagai pelancong atau mahu bekerja di negara ini. -KOSMO! ONLINE















