PASIR PUTEH – Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung berlubang dan masalah mental mengharungi kehidupan sukar untuk menjaga lima anak orang kurang upaya (OKU) selepas suaminya meninggal dunia akibat kanser dua tahun lalu.
Ismarida Ismail, 42, kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meneruskan kehidupan bersama lima anaknya di Kampung Telekong, di sini.
Pengerusi Persatuan Mahabah Asnaf (PMA), Che Norhayati Mohamed berkata, semua anak wanita itu, Nur Hidayah Kamaruzzaman, 20, Nurbaiyah, 18, Nur Amirah Syahirah, 15, Muhammad Aniq Danish, 13, dan Muhammad Abdullah Isyraf, 4, merupakan OKU pembelajaran yang memerlukan perhatian khas setiap hari.
Menurutnya, lebih membimbangkan, Nur Amirah Syahirah menghidap penyakit leukemia yang menyebabkannya sering pening kepala dan cepat letih.
“Anak bongsunya, Muhammad Abdullah Isyraf pula disahkan menghidap kebocoran injap jantung dan memerlukan rawatan dan pemantauan berterusan.
“Ini menyebabkan keluarga tersebut hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya pada Program Anak-Anak Angkat PMA di sini baru-baru ini.
Che Norhayati memberitahu, pihaknya mengetahui mengenai nasib keluarga itu selepas menerima maklumat daripada penduduk setempat.
Katanya, Ismarida kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap kerana masalah kesihatan.
“Ismarida memerlukan bantuan terutama dalam menyediakan keperluan harian dan kos rawatan anak-anak. Kita sudah mengambil kelima-lima anak Ismarida sebagai anak angkat.
“Kita menyediakan perbelanjaan RM2,000 sebulan untuk menampung kos penghantaran empat anaknya ke sekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Che Norhayati di talian 011-2546 6362 untuk maklumat lanjut.














