KUALA LUMPUR – Seorang pekerja galeri jam tangan mewah dipenjara setahun, dikenakan satu sebatan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Jalan Duta di sini kerana mencuri jam tangan bernilai RM2.6 juta.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tertuduh yang berusia 24 tahun itu didakwa selepas diberkas kerana melarikan 12 utas jam tangan mewah dari premis tempatnya bekerja di Bukit Jalil pada 31 Mac lalu.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah hari selepas lelaki itu mengambil kesempatan ketika rakan sekerjanya berada di bahagian belakang premis.
“Semakan ke atas rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek mengambil jam tangan dari kaunter pameran sebelum memasukkannya ke dalam beg galas hitam dan beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek ditahan pada 1 April lalu di kawasan parkir DC Mall, Bukit Damansara oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Kuala Lumpur.
“Polis merampas seutas jam tangan Rolex Oyster Perpetual, sebuah telefon bimbit iPhone 16 Pro Max dan empat keping resit pajak gadai dengan nilai keseluruhan RM672,000,” ujarnya.
Lelaki itu direman selama tiga hari sehingga 3 April bagi membantu siasatan. Kertas siasatan kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah pada 3 April lalu.
Tertuduh kemudian mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara setahun bermula dari tarikh sabitan, satu sebatan serta denda RM20,000 atau penjara tambahan 12 bulan jika gagal membayar denda. – KOSMO! ONLINE














