GERIK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan semua instrumen perundangan bagi menyiasat individu yang terlibat dalam ‘mafia korporat’ termasuk mereka yang berada di luar negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses siasatan kes itu berjalan lancar dan polis mengambil keterangan daripada individu yang dipercayai mempunyai kaitan kes tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan secara terperinci merangkumi elemen jenayah dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Polis mahu ambil kenyataan individu terbabit dan dia berada di luar negara, maka kita akan panggil. Semua proses untuk kita bawa pulang mereka, kita akan gunakan kita ada pelbagai kaedah. Paling penting polis telah memulakan siasatan kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, beliau diberikan taklimat dari semasa ke semasa berhubung perkembangan kes tersebut.
“Tiada sebab untuk curiga kompetensi polis dalam mengesan atau menggunakan semua instrumen perundangan yang ada bagi membolehkan mana-mana individu yang dikehendaki dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Pada 1 April lalu, Ketua Pasukan Siasatan Unit Siasatan AMLA, Datuk Fazlisyam Abdul Majid memaklumkan seramai 41 individu dipanggil bagi membantu siasatan. Mereka yang dipanggil termasuk Victor Chin dan sembilan individu yang ditahan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














