fbpx
Anggota polis membawa Cik Hisammudin (dua dari kanan) dan Saufi (dua dari kiri) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Pasir Mas hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

Bekas pemain bola sepak Kelantan didakwa culik pemilik kedai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Seorang bekas pemain bola sepak Kelantan dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melarikan dan mengurung pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini tahun lalu.

Tertuduh, Cik Hisammudin Hassan, 51, yang juga bekas penyerang pasukan bola sepak Kelantan era 1990-an hingga 2000-an dan Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mereka didakwa melarikan Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah di tepi jalan Kampung Palekbang, Tumpat kira-kira pukul 7.20 pagi, 20 Mei 2025.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala peguam Heather Marie Anthony mewakili Cik Hisammudin. Saufi pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. Cik Hisammudin membayar jaminan, manakala rakannya tidak membayar wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan seorang pemilik kedai emas ditinggalkan di Tumpat selepas dilarikan selama hampir lima jam oleh empat individu menggunakan sebuah kereta dari Palekbang di sini pada 20 Mei tahun lalu.

Menurut sumber, ketika ditemui mangsa dengan mengalami kecederaan ringan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN