TAMPIN – “Abang menangis bila kali terakhir bertemu pada hari raya kedua lalu mengatakan penat dan tidak mahu pulang ke kem.”
Itu luahan adik Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raiq Rosafindi, 24, iaitu Ainur Shazwani, 22, ketika ditemui pada upacara pengebumian di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini awal pagi tadi.
Menurut Ainur Shazwani, dia dan tiga lagi adik-beradiknya yang lain faham tentang kerjaya abangnya sebagai anggota tentera dan perlu kembali kepada pasukannya di kem.
Katanya, hubungan mereka lima beradik semakin rapat selepas ibu meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu dan menganggap abangnya macam ibu kerana selalu bertanyakan khabar.
Menurutnya, abangnya itu juga sempat memaklumkan kepada mereka sekeluarga bakal mendapat anugerah akademik terbaik dan bakal bercuti selama sebulan sekali gus telah menrancang untuk pergi bercuti.
Jenazah Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raiq selamat dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi dalam suasana hiba dan pilu. – KOSMO! ONLINE














