GEORGE TOWN – Seorang lelaki dipercayai pesakit mental ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat lima flat Taman Seri Perak, Jelutong di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 53 tahun dijumpai dalam keadaan terlentang di atas bumbung, tingkat bawah perumahan berkenaan oleh orang awam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 6.53 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi terbabit.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan diketuai Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I Mohd. Akmal Nasjuan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan ‘stretcher’ dan peralatan menyelamat. Menurut keterangan ibunya, mangsa dipercayai menghidap masalah mental.
“Mangsa yang cedera seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital berdekatan bagi rawatan susulan,” katanya di sini, malam tadi.
Tambahnya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 7.38 malam tadi. -KOSMO! ONLINE














