JAKARTA – Penduduk di Sleman, wilayah Daerah Istimewa Yogyakarta mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam berebut-rebut menangkap sejumlah ikan yang tiba-tiba muncul di jalan raya, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5.01 petang (waktu tempatan) di persimpangan Demok Ijo, Jalan Lingkaran Barat semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @maskuri685 menunjukkan orang ramai berpusu-pusu menangkap ikan di tepi jalan yang sibuk dan ditenggelami air.
Difahamkan, hujan lebat semalaman menyebabkan ikan-ikan itu terlepas daripada sebuah kolam ternakan milik penduduk.
Ada antara mereka berjaya menangkap ikan bawal dan beberapa lagi ikan yang besar.
Rakaman itu mencatatkan lebih 91,400 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Banjir yang membawa rezeki,” kata seorang netizen.
“Jalan sesak sebab orang tangkap ikan,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














