BENTONG – Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap seorang anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa memukul seorang anggota tentera baru-baru ini.
Siasatan baharu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dibuat susulan kematian mangsa, Amirul Raziq Rosafindi, 24, hari ini
Sebelum ini suspek yang berumur 37 tahun dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas perbuatan yang menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.34 pagi tadi.
“Proses siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dilakukan dengan mengklasifikasi kertas siasatan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini.
Tambahnya jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan turut dilakukan. – KOSMO! ONLINE














