Nama-nama supermodel seperti Naomi Campbell, Tyra Banks, Kate Moss, Cindy Crawford, Bella Hadid dan Tyson Beckford sememangnya dikenali di seluruh dunia.
Mereka sering menghiasi kempen jenama terkenal serta berjalan dalam pertunjukan fesyen di minggu fesyen serata dunia.
Namun tahukah anda, model kelahiran Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Ada beberapa anak tempatan yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan kelompok model bertaraf elit.
HibGlam minggu ini menyenaraikan lima model kelahiran Malaysia yang ‘mendunia’ di peringkat antarabangsa.
- Atikah Karim
Memiliki kecantikan eksotik, Atikah atau nama lengkapnya Dayang Nur Atikah Karim ini merupakan anak jati Sabah berketurunan Bajau dan Brunei.
Sejak memenangi pertandingan pencarian model Ford Supermodel Malaysia pada 2011, kerjaya Atikah sebagai peragawati terus mekar berkembang.
Atikah berpangkalan di kota New York sejak 10 tahun lalu.
Antara kempen dijayakan Atikah adalah Zara, H&M, She Eumura dan Banana Republic.
Dia pernah menjadi model untuk persembahan Miley Cyrus dan muncul dalam majalah Vogue British.

- Ling Tan
Ling Tan atau nama lengkapnya Tan Man Ling merupakan model kelahiran Kuala Lumpur yang kini berpangkalan di New York, Amerika Syarikat sejak tahun 90-an.
Ling Tan mendapat julukan The First Asian Supermodel oleh penggiat industri fesyen.
Portfolio model tinggi lampai ini bukan calang-calang. Dia sudah bekerjasama dengan jenama-jenama gergasi dunia antaranya Dior, Chanel, Yves Saint Laurent, Tom Ford, Emporio Armani dan Elie Saab.
Malah Ling Tan juga merupakan model Asia pertama yang berjalan di pertunjukan fesyen Victoria’s Secret.
Wajahnya juga pernah menjadi penghias muka depan majalah fesyen terkenal Vogue edisi Korea, Jerman dan Singapura.
Ling Tan sering menjadi pilihan agensi model terkenal seperti IMG, Elite dan Wilhelmina.

- Ridzman Zidaine
Satu-satunya model lelaki tempatan yang berjaya menempa nama di persada dunia.
Bertubuh tinggi lampai, berkulit sawo matang dan rambut paras bahu menjadikan Ridzman sebagai model yang menonjol di pentas peragaan.
Ridzman mula menjinakkan diri dalam dunia peragaan sekitar tahun 2019 apabila bakatnya dikesan jurufoto TTFGA.
Antara kejayaan Ridzman adalah menjadi wajah kempen jenama terkemuka dunia, Louis Vuitton (LV).
Selain itu, dia juga menjadi model Malaysia pertama yang membuka pentas pertunjukan LV pra-luruh 2024 di Hong Kong.
Ridzman juga sudah berjalan dalam pertunjukan fesyen LV lebih dari enam kali selain jenama terkenal lain antaranya Emporio Armani, Hermes, JW Anderson dan Maison Margiela.
Dia juga merupakan model Melayu pertama yang berjalan di pentas Minggu Fesyen Paris pada 2022.

- Gwen Lu
Peragawati kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini merupakan wajah kesayangan jenama terkenal, Balenciaga.
Kerjaya Gwen sebagai model berpangkalan di New York dan sering ke kota-kota fesyen terkenal dunia seperti London, Paris, Berlin, Milan, Tokyo, Hong Kong, Istanbul dan Cape Town.
Selain aktif di pentas peragaan, wajah Gwen sering menghiasi muka depan majalah fesyen terkemuka antarabangsa termasuk Vogue, Elle, Harper’s Bazaar dan Lofficiel.
Issey Miyake, Nanushka, Herskinds dan Lemaire antara jenama ternama menggunakan khidmatnya.
Sejak berkahwin lima tahun lalu, Gwen dan suaminya memiliki sebuah rumah di Athens, Greece di mana mereka banyak menghabiskan masa bersama di sana.

- Shikin Gomez
Nama Shikin Gomez mula menjadi perhatian ramai sejak dia menyertai pertandingan realiti Asia’s Next Top Model musim kelima (AsNTM5).
Shikin atau nama lengkapnya Siti Nurashikin Mohd. Faisal Gomez merupakan model beketurunan Melayu-India Malaysia. Selepas tamat AsNTM5, kerjaya Shikin sebagai model tidak tertumpu di Malaysia sahaja. Namanya turut mekar sehingga ke luar negara.
Antara kejayaan Shikin adalah apabila dia menjadi satu-satunya model dari Malaysia yang terpilih untuk berjalan di pertunjukan fesyen jenama terkenal, Dior di Mumbai, India pada 2023.
Selain itu, Shikin juga sering dilihat berjalan di pertunjukan fesyen antarabangsa termasuklah Minggu Fesyen New York.















