PETALING JAYA – Cuba mengelak kemalangan di lorong kiri dipercayai punca sebuah kereta melanggar sebuah motosikal dalam kejadian di Lebuh Raya Damansara–Puchong (LDP) hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3.36 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja cedera patah tangan kanan dan retak tulang rusuk.
Rakaman video tersebut kini tular di media sosial yang memaparkan nahas tersebut menyebabkan penunggang motosikal terbabit tercampak di atas jalan.
Menerusi rakaman video kamera papan pemuka sebuah kenderaan, kejadian itu berpunca daripada pelanggaran dua buah kenderaan di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
Sehubungan itu, sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di belakang cuba mengelak dengan mengubah laluan secara mengejut ke lorong kanan.
Namun tindakan itu menyebabkan kereta berkenaan berlanggar dengan sebuah motosikal mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan, manakala motosikal tersebut ‘terpelanting’ ke laluan bertentangan.
Menurut salah seorang pengguna media sosial, lelaki terbabit dipercayai sudah mendapatkan rawatan di hospital dan kini berada dalam keadaan stabil. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














