fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik kempunan untuk mempertahankan takhta kejuaraan Asia selepas tewas di pusingan suku akhir hari ini. - AFP

BAC2026: Aaron-Wooi Yik tersekat di suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 tidak kesampaian apabila tersingkir di suku akhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China sebentar tadi, pasangan No.2 dunia itu tewas 19-21, 28-26, 13-21 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.

Aaron-Wooi Yik yang turun sebagai pilihan kedua kejohanan berdepan aksi cukup sukar apabila diberikan tentangan sengit oleh gandingan No.22 dunia itu sejak set pertama lagi di mana mereka tewas 19-21.

Aksi di set kedua berlangsung dalam suasana lebih mendebarkan apabila kedua-dua beregu saling bertukar servis bagi mengutip mata akhir ketika perlawanan diheret sehingga ke ke penentuan ‘deuce’.

Bagaimanapun, tuah menyebelahi Aaron-Wooi Yik selepas bekas juara dunia itu menunjukkan kekuatan mental dan mencatat kemenangan 28-26, sekali gus memaksa pemenang perlawanan ditentukan dalam set penentuan.

Bersambung set ketiga, beregu negara pada awalnya berjaya mengimbangi permainan Min Hyuk-Dong Ju ketika berada di kedudukan 5-5 tetapi segalanya berubah sebaik sahaja pemain lawan meraih mata ke-11.

Walaupun cuba untuk mengejar dan merapatkan kedudukan, namun jurang mata yang agak besar menyaksikan Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas 13-21 di set ketiga, sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

Menerusi kekalahan Aaron-Wooi Yik, cabaran Malaysia pada Kejohanan Asia berakhir selepas beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut tewas kepada wakil tuan rumah, Li Yi Jing-Luo Xu Min. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN