KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus kempunan untuk merangkul status terbaik Asia selepas tersingkir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, pilihan kedua kejohanan itu tewas dengan keputusan straight-set 13-21, 15-21 kepada beregu tuan rumah, Li Yi Jing-Luo Xu Min.
Turun dengan status sebagai naib juara dunia musim lalu, Pearly-Thinaah bagaimanapun tidak dapat mempamerkan aksi sebenar apabila membenarkan pemain lawan untuk menguasai set pertama dan mendahului dengan jurang mata cukup besar.
Meskipun berjaya merapatkan kedudukan 9-11, namun anak-anak buah Rosman Razak itu tidak dapat menyekat kemaraan Yi Jing-Xu Min yang kemudiannya mengutip mata demi mata sebelum memenangi set pertama 21-13.
Tersentak dengan kekalahan awal, pasangan No.2 dunia itu memperkemaskan corak permainan di set kedua dan berjaya mendahului 6-3 sebelum kembali dipintas beregu tuan rumah tersebut.
Pearly-Thinaah berjaya merapatkan kedudukan 12-14 tetapi kesilapan demi kesilapan mudah yang dilakukan meletakkan pemain lawan terus selesa berada di depan sebelum akur dengan kekalahan 15-21.
Biarpun langkah tersekat di suku akhir, namun sekurang-kurangnya beregu negara itu berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi tahun lalu di mana mereka terkandas seawal pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE














