BANDAR RAYA MEXICO – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila objek terapung yang disangka kayu merupakan seekor anak aligator semasa mandi di sebatang sungai di Mexico, lapor akhbar The Sun UK.
Rakaman video kejadian dikongsi di media sosial menunjukkan wanita itu sedang merenjis air ke wajahnya sebelum mengangkat sebuah objek yang terapung.
Objek tersebut kelihatan seperti kayu.
Selepas diangkat, dia menjerit ketakutan apabila mendapati objek tersebut adalah seekor anak aligator.
Dia membaling reptilia itu ke udara dan bergegas berenang ke tepi sungai untuk menyelamatkan diri.
Pegawai hidupan liar memberi amaran kepada penduduk tempatan dan pelancong untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
“Jika objek itu kelihatan seperti kayu, anggap ia mempunyai gigi,” katanya. – AGENSI














