fbpx
Gambar hiasan

Pesara rakam video bawah skirt peguam wanita dijel 7 hari, denda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAYANG – Perbuatan seorang pesara merakam video bawah skirt peguam wanita di sebuah kedai makan empat hari lalu berbalas selepas dia dihukum penjara tujuh hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mahmoodah VM Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 62 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Mahmoodah memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 April lalu. Warga emas itu yang diwakili peguam V. Kumar turut berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh itu terhadap mangsa berusia 29 tahun sehingga menampakkan bahagian paha  dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan di sebuah kedai makan di Rawang pada pukul 5.49 petang, 7 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafiz Aiman Badrisham memohon hukuman berat dengan mengambil kira mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa menjalani rawatan psikiatri.

“Perbuatan (tertuduh) itu dilakukan dengan sengaja dengan bertujuan mengganggu kesantunan mangsa sebagai wanita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN