DALAM ledakan sukan pickleball di peringkat global, Asia muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu dan Malaysia kini semakin jelas berada dalam radar perkembangan sukan itu.
Jika satu dekad lalu sukan ini sekadar dimainkan secara santai di gelanggang kecil, hari ini ia berkembang menjadi fenomena antarabangsa dengan Asia khususnya Asia Tenggara, tampil menjadi antara pusat pertumbuhan paling pesat.
Malaysia juga tidak terkecuali, malah menunjukkan perkembangan yang agresif.
Pemain No. 1 dunia, Ben Johns mengakui perubahan drastik itu dan menyifatkan evolusi pickleball hari ini berbeza berbanding ketika beliau mula menceburinya pada 2015.
Katanya, pengalaman beraksi di Asia termasuk di Vietnam dan Malaysia membuktikan rantau ini memiliki tenaga dan minat luar biasa terhadap pickleball.
“Kami baru bermain di Vietnam minggu lalu. Semangat peminatnya luar biasa. Saya ada kenangan menang di Malaysia dan Da Nang yang boleh diceritakan kepada anak cucu nanti,” ujarnya.
Ledakan itu bukan sekadar didorong peningkatan penyertaan, tetapi dipacu sifat pickleball yang inklusif dan mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu, legenda tenis dunia, Andre Agassi melihat pickleball sebagai sukan yang mampu memecahkan sempadan, sekali gus menjelaskan mengapa pertumbuhannya begitu pantas dalam tempoh singkat.
“Sukan ini datang dalam hidup kami ketika pandemik. Kami mencari sesuatu untuk dilakukan bersama anak-anak. Ia memecahkan jurang generasi, jantina dan budaya,” katanya.
Bagaimanapun, Agassi menegaskan di sebalik populariti yang melonjak, pickleball masih berada pada fasa awal perkembangan.
“Walaupun kedengaran menakutkan, dari segi penyertaan pickleball masih di peringkat awal. Jika dilihat secara global, ruang untuk berkembang sangat besar dan ini contoh terbaik,” jelasnya.
Di Malaysia, perkembangan ini membuka persoalan lebih besar sama ada negara mampu memanfaatkan momentum untuk muncul sebagai kuasa baharu atau sekadar menjadi pasaran pengguna.
Apa yang membezakan pickleball berbanding sukan lain adalah kadar penyebarannya yang tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem elit, sebaliknya melalui komuniti.
“Tiada siapa yang takut untuk mencuba, anda boleh jadi lebih baik setiap 10 minit,” katanya. Namun, di sebalik kelebihan itu, cabaran sebenar mula timbul apabila pickleball semakin menghampiri tahap profesional dan komersial yang lebih besar di peringkat global.
Antara persoalan utama bagaimana pickleball mampu mengekal identiti sebagai sukan inklusif dalam masa sama bergerak ke arah struktur lebih kompetitif termasuk potensi di Sukan Olimpik.
Perkembangan ke arah itu memberi isyarat jelas negara seperti Malaysia perlu mula memikirkan kerangka pembangunan lebih tersusun.Ini kerana dalam landskap sukan moden, pertumbuhan pesat tanpa perancangan jangka panjang sering kali membawa risiko kehilangan arah dan identiti.
Apa yang pasti, pickleball bukan lagi sekadar trend sementara, sebaliknya sedang membentuk satu ekosistem baharu dalam dunia sukan global yang makin kompetitif.














