SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berdepan detik cemas apabila kakinya tersepit dalam salur paip bilik air sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara di sini, hari ini.
Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh berkata, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Fahizal Othman bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 12.13 tengah hari.
“Komander operasi mendapati kaki mangsa tersepit dalam salur paip di bilik air. Anggota bomba memotong paip menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 2.57 petang. – KOSMO! ONLINE














