KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dikatakan sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan meneruskan karier secara profesional.
Perkara itu dapat disahkan menerusi pengumuman dibuat BAM menerusi laman Facebook hari ini yang memaklumkan Pang Ron dan pemain beregu wanita, Go Pei Kee sudah tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.
Bagaimanapun, spekulasi berhubung masa depan pemain berusia 28 tahun itu bukan perkara baharu memandangkan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto merancang untuk memisahkan dia dan Cheng Su Yin sekiranya prestasi tidak meningkat.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Hoo Pang Ron dan Go Pei Kee sudah meninggalkan pasukan kebangsaan. BAM menghargai setiap sumbangan serta komitmen diberikan kedua-dua pemain itu.
“Sementara itu, Jimmy Wong pula akan kembali menyertai pasukan kebangsaan sebagai pemain beregu campuran dan akan bergandingan bersama Cheng Su Yin. Dia akan melapor diri pada 15 April 2026,” kata BAM dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pang Ron pula akan bergandingan dengan pemain senior, Lai Pei Jing yang pernah berpasangan bersama Jimmy sebelum ini.
Berdasarkan kemas kini dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Pang Ron-Pei Jing dan Jimmy-Su Yin akan mengharungi aksi pertama mereka pada kejohanan Malaysia Masters di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 19 hingga 24 Mei depan. – KOSMO! ONLINE














