PETALING JAYA – Seperti tiada penghujung, pelakon Betty Banafe meluahkan keletihan emosi apabila konflik mahkamah bersama bekas suami terus berlarutan biarpun sudah lapan tahun bercerai.
Ujar Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafee, 44, dirinya sudah terlalu lama bersabar menghadapi pelbagai tindakan undang-undang sehingga menjejaskan ketenangan hidup serta masa depan anak-anak.
“Saya sudah masuk tahun kelapan turun naik mahkamah hampir setiap bulan. Ada 17 kes saman difailkan termasuk lima komital, sedangkan banyak perkara langsung tiada kaitan dengan hak penjagaan sementara.
“Saya hanya sibuk menjawab afidavit dan perlu sentiasa bersedia, demi memastikan masa depan anak-anak lebih selamat dan terjaga.
“Tak kasihan ke pada anak-anak yang terpaksa berdepan perbualan negatif setiap kali bertemu keluarga sebelah sana?,” luahnya dalam Instagram.
Menurut bintang drama Suamiku Lelaki Pendosa itu, apa yang lebih menyedihkan adalah isu berkenaan seolah-olah tidak pernah berakhir walaupun pelbagai siasatan telah dijalankan, termasuk membabitkan pakar psikologi.
“Pernah satu pasukan lengkap dengan pakar psikologi datang buat penilaian terhadap kami. Hasilnya, mereka akui tiada unsur penderaan dan semuanya dalam keadaan baik.
“Jadi saya tertanya, apa lagi usaha untuk memburukkan reputasi saya? Cukuplah, saya penat,” ujarnya.
Tambah Betty, sepanjang melalui proses perceraian, dia langsung tidak menuntut sebarang nafkah termasuk mutaah, idah mahupun harta sepencarian, sebaliknya hanya mahukan kedamaian hidup.
“Waktu bercerai dulu, saya tak tuntut apa-apa. Saya cuma mahu berpisah secara baik dan cari ketenangan untuk membina hidup baharu.
“Tapi kenapa masih berlarutan sampai sekarang? Salahkah saya hanya mahu hidup tenang?,” tuturnya.
Dalam masa sama, Betty turut berharap pihak peguam yang terlibat dapat memainkan peranan lebih beretika dalam mengendalikan kes, bukan sekadar menambah tekanan kewangan dan emosi kepada pihak terlibat.
Untuk rekod, Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10. – KOSMO! ONLINE














