PETALING JAYA — Tindakan seorang lelaki yang didakwa merakam video seorang penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) mengundang padah apabila perbuatannya itu berjaya dikesan oleh orang awam malam tadi.
Menerusi hantaran pengguna oleh @tishazmn di media sosial, kejadian itu mula disedari apabila seorang lelaki bertindak untuk merakam video bawah skirt wanita tersebut di sebuah LRT.
Katanya, seorang lagi wanita lain di lokasi bertindak berani menegur suspek selepas melihat kedudukan telefon pintarnya yang mencurigakan.
“Malam tadi punya cerita nak naik LRT dengan tenang pun tak selamat sebab kena rakam bawah skirt dan perempuan ini yang tegur dia bukan mangsanya tapi penyelamat,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa berang terhadap tindakan suspek itu.
“Terima kasih kepada akak yang tegur dan rakam itu, sekurang-kurangnya boleh jadi bukti dan buat kita semua lebih berwaspada,” ujar seorang pengguna.
“Pastikan dalam ‘bin’ pun buang. Kalau tak gambar-gambar masih tersimpan dalam tu,” kata pula pengguna Mohd_noor_azy.
Susulan penularan video berkenaan, pihak RapidKL turut memberikan maklum balas segera dan meminta maklumat lanjut mengenai masa serta lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Kami memandang serius perkara ini dan mohon maaf atas kejadian yang berlaku. Mohon kongsi maklumat lanjut supaya kami dapat mengambil tindakan segera,” jelasnya. — KOSMO! ONLINE














