KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan cabaran pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 apabila berjaya melangkah ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China sebentar tadi, bekas juara dunia itu menang straight set 22-20, 21-19 ke atas pasangan tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat juang cukup tinggi apabila bangkit memenangi set pertama 22-20 biarpun sebelum itu ketinggalan 15-19 kepada lawan.
Kemenangan tersebut nyata menjadi pembakar semangat buat gandingan No.2 dunia itu apabila berjaya menampilkan aksi lebih kemas di set kedua menerusi corak permainan cukup dominan.
Meskipun pada awalnya mendahului dengan jurang mata cukup besar 11-4, namun Aaron-Wooi Yik tidak dapat mengekalkan rentak konsisten sehingga membolehkan lawan merapatkan kedudukan 14-15.
Tersentak dengan kebangkitan Ke Yuan-Xiang Yi, juara bertahan itu kemudiannya memperkemaskan permainan selain tidak melakukan sebarang kesilapan mudah sebelum menang 21-19.
Aaron-Wooi Yik menjadi satu-satunya harapan Malaysia dalam acara beregu lelaki pada edisi kali ini selepas beberapa wakil lain tumbang satu per satu di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE














