fbpx
Jue menunjukkan lokasi bayi itu ditemukan atas kerusi di depan rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO

Disangka anak patung, rupanya bayi bernyawa dihurung semut depan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Seorang suri rumah terkejut apabila menemui bayi lelaki yang masih bernyawa ditinggalkan atas kerusi di hadapan rumahnya di Kampung Rantau Panjang di sini, semalam.

Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai kira-kira pukul 10.45 pagi selepas wanita berusia 35 tahun tersebut dimaklumkan oleh anak perempuannya mengenai kehadiran bayi berkenaan.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Jue berkata, ketika kejadian, dia yang kurang sihat sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.
Menurut ibu empat anak itu, pada awalnya dia menyangka bayi yang dibedung dengan kain lampin tersebut hanya anak patung sebelum terkejut selepas mendengar tangisan.

“Saya terkejut melihat bayi itu menangis dan dihurung lalat serta semut. Saya segera keluar melihat keadaan bayi itu dan mendapati dia masih bertali pusat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, bayi yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-32912222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Khairolazuan Mohd. Supian menerusi 011-16937331. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN