LANGKAWI – Lebih 1,000 pesawah di pulau ini menarik nafas lega apabila mereka bakal menerima permit khas untuk membeli diesel bagi kegunaan jentera menanam padi.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Mohd Aizat Rostam berkata, subsidi tersebut akan disasarkan kepada pesawah yang mempunyai jentera atau lori yang digunakan bagi kerja-kerja menanam padi.
“Pesawah yang layak perlu mengemukakan geran atau surat jual beli jentera bagi membuktikan mereka layak untuk menerima permit khas ini.
“Satu kaunter khas akan dibuka di PPK oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri) bagi permohonan permit khas ini,” katanya kepada sidang media di Pusat Belian Padi, Kilang Bernas Bukit Hantu, di sini, hari ini.
Jelasnya, tarikh pembukaan kaunter tersebut akan dimaklumkan kelak.
Sementara itu, Pengerusi PPK Langkawi, Hassim Saad berkata, permit khas ini akan mambantu meringankan beban pesawah.
Dalam pada itu, Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pemberian permit khas ini adalah sebagai bukti kerajaan akan terus membela nasib rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga minyak. – KOSMO! ONLINE














