PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung hingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perlis dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu).
Hujan lebat turut diramal berlaku di kawasan Pulau Pinang serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE













