fbpx
Kemalangan maut melibatkan seorang guru sekolah swasta di Lebuh Raya SILK, semalam.

Guru maut digilis treler selepas motosikal hilang kawalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Seorang guru sekolah swasta maut selepas motosikal ditunggangnya terjatuh sebelum digilis sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 21.7 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) arah Semenyih, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler dan dua buah motosikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila salah sebuah motosikal telah melanggar bahagian belakang sebuah lagi motosikal dari arah belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut hilang kawalan sebelum terjatuh ke arah sebuah treler yang sedang bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu treler berkenaan dipercayai tidak menyedari kejadian tersebut sebelum terlanggar mangsa bersama motosikalnya.

Akibat kejadian itu, katanya, mangsa lelaki berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Seorang lagi penunggang serta pembonceng motosikal terbabit, selain pemandu treler berusia antara 36 hingga 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN