PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April dilaporkan meningkat kepada RM6.72 seliter, berbanding RM6.02 sebelum ini.
Kementerian Kewangan berkata, harga RON97 tanpa subsidi pula meningkat kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter.
“Harga minyak mentah global melonjak sejak lima minggu lalu susulan krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.
“Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.
“Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya dan bukannya harga semasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan berkata, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu, ketika pasaran global berada pada paras lebih tinggi.
“Ia telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.
“RON95 menerusi Budi Madani (Budi95) kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM2.15 seliter,” katanya. – KOSMO! ONLINE














