KUALA LUMPUR – Langkah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China menemui titik noktah selepas tersingkir seawal pusingan pertama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, pilihan keenam itu terpaksa akur tewas menerusi keputusan straight set 18-21, 18-21 kepada pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Bagaimanapun, keputusan itu seperti sudah dijangka memandangkan Wei Chong belum berada pada kondisi terbaik kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan yang dialami.
Beregu negara berpeluang untuk mencatat kemenangan di set pertama apabila mendahului perlawanan 15-10, namun kesilapan mudah yang dilakukan membuka ruang buat Ji Ting-Xiang Yu untuk bangkit menyamakan kedudukan 15-15 sebelum menang 21-18.
Bersambung set kedua, pasangan China itu yang sudah mendapatkan momentum mengekalkan rentak konsisten biarpun sesekali dicabar Wei Chong-Kai Wun sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 16-16.
Kemudiannya, Ji Ting-Xiang Yu yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri mengutip mata demia mata sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kedua menerusi kemenangan 21-18 di set kedua. – KOSMO! ONLINE














