IPOH – Perbuatan seorang pemotong rumput menyimpan 342 video lucah termasuk bahan pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbit sebagai koleksi peribadi membawa padah selepas dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh dua mahkamah di sini hari ini.
Di Mahkamah Majistret Parit, Idham Rhusla Mohamad Shahuri, 42, mengaku bersalah sebelum Majistret Nurul Izalina Rajaai mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh sabitan hari ini.
Bapa dua anak berusia 16 dan 18 tahun itu didakwa memiliki 341 video lucah dalam telefon bimbit jenama Oppo A35 berwarna merah di Kampung Sadang, Belanja Kiri dalam daerah Perak Tengah pada pukul 12.51 tengah hari, 6 April lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason atas tuduhan memiliki satu video pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbit di lokasi, tarikh dan masa sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh dihukum penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkapan semalam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Kathan. – KOSMO! ONLINE














