Ikan ini dalam famili Silllaginidae dan terdapat beberapa subspesies lagi. Ada beberapa nama tempatan bagi ikan ini seperti bulus, bulus-bulus, buluh, puting damar dan kedondong. Namanya dalam bahasa Inggeris pula ialah whitting atau smelt-whitting.
Secara fizikal, ikan ini mempunyai badan yang bulat memanjang. Sisiknya halus dengan warna keperakan atau menyamai warna pasir.
Ia menjadikan kawasan berpasir sebagai habitat utamanya kerana persekitaran tersebut membolehkannya membenamkan diri dan bersembunyi daripada ikan pemangsa serta menunggu makanan.
Ikan bebulus memiliki kepala berbentuk konikal dengan mulut yang kecil dan bermuncung ke hadapan sewaktu ia menggetu makanan berupa organisma kecil seperti anak-anak udang, ikan, ketam, larva dan perumpun.
Ikan ini biasanya dipancing terlebih dahulu oleh geng pemancing pantai (surfcaster) untuk dijadikan umpan ikan yang lebih besar seperti pari, kerapu, jenahak, alu-alu dan lain-lain lagi.
Namun pada masa sama, ikan ini juga selalu dibawa pulang sebagai juadah sekeluarga dan ia sedap digoreng garing. Ikan bebulus ini biasanya bermusim.
Apabila sampai masa, kumpulannya banyak menghimpit pantai dan saya bersama rakan-rakan pasti tidak melepaskan peluang ‘mengutipnya’ untuk dijadikan lauk.
Teknikal
Walaupun mudah sahaja memancing ikan bebulus, tetapi ada teknikal untuk mendapatkannya dengan lebih efektif.
Kebiasaannya, jika pancing dasar untuk ikan ini, tidak boleh dibiarkan umpan pegun begitu sahaja di satu-satu tempat.
Selepas umpan dilontar, biarkan ia tenggelam hingga ke dasar, kemudian karau secara perlahan-lahan dengan membuatkan umpan ‘menyapu’ lantai dasar.
Ikan ini selalunya duduk diam di dalam pasir, jadi dengan cara ini dapat membuatkan umpan lalu di kawasan ikan bebulus bersembunyi, lantas mempercepatkan masa untuk ia menemui umpan.
Selain itu, pemancing boleh menambah sedikit benang berwarna merah pada pangkal mata kail.
Warna ini dipercayai mampu menarik perhatian ikan bebulus, sekali gus meningkatkan peluang untuk ia membahamnya.

Ada juga yang menggunakan mata kail warna merah yang halus seperti dikeluarkan oleh Gamakatsu, khusus untuk pancingan ikan bebulus.
Berkemungkinan warna merah itu menyerupai cacing halus yang menjadi makanan utama ikan ini.
Perambut sepanjang enam inci sudah memadai bagi memancing ikan ini kerana getuannya terhadap umpan amat lembut.
Jadi, perambut yang pendek lebih cepat terasa getuannya berbanding perambut terlalu panjang.
Apabila terasa getuan, joran harus disem-bat pantas supaya mata kail tertancap di mulutnya.
Musim
Minggu hari raya yang baru ini, seorang sahabat saya memberitahu, ramai pemancing berpusu-pusu di sepanjang Kuala Senok, Kelantan untuk memancing ikan bebulus.
Kesibukan di musim perayaan membuatkan saya terlepas pestanya, namun tetap turun untuk melihat perkembangan terkini selepas seminggu.
Sampai sahaja di lokasi, kelihatan kosong tiada seorang pun pemancing. Kami tetap mencuba, kalau masih ada baki ikan tersebut di lokasi itu.
Masing-masing mencari tapak yang berpotensi terutamanya di kawasan berpasir.
Pagi itu, air masih belum pasang dan arusnya tidak bergerak, keadaan tersebut merisaukan kami.
Sesi pancing tetap dilangsungkan, umpan potongan udang terus dilabuhkan sampai ke dasar, sebelum dikarau perlahan.
Hampir dua jam kami gagah mencuba, malangnya hanya beberapa ekor ikan-ikan kecil yang sering dianggap pengacau seperti anak ikan kerong dan gerut-gerut menggetu umpan.
Hampir hendak menamatkan sesi pancingan, barulah Izuddin kena seekor ikan bebulus.
Kami ingatkan itulah ikan yang terakhir, rupa-rupanya kami tersilap. Ia merupakan pembuka bondongan bebulus yang datang kemudian.
Selepas itu, bertubi-tubi kami menerima serangan ikan bebulus.
Rupa-rupanya, arus baru sahaja bertolak pasang bersama kumpulan bebulus yang mula merapati kawasan pancingan kami.
Leka menikmati angin laut membuatkan kami turut lupa bahawa arus juga memainkan peranan utama untuk sesetengah spesies ikan menjadi bernafsu mencari makanan.
Kumpulan ikan bebulus itu juga tidak lama ia menghilang sebaik arus bertukar menjadi surut.
Menjelang tengah hari, kami menyimpan peralatan memancing dan pulang dengan hasil yang mencukupi untuk dinikmati sekeluarga.















