MELAKA – Tiga lelaki didenda dengan jumlah keseluruhan RM1,700 dan menjalani perintah khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, Januari lalu.
Hakim, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman tersebut selepas ketiga-tiga orang kena saman (OKS), Mohamad Faez Sahli,28; Yeo Hong Huat, 57; dan K. Danesh, 29, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan ketiga-tiga OKS didapati membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud tersebut.
Kesalahan tersebut dilakukan oleh Mohamad Faez di Taman Bandar Bestari, Jasin pada 8 Januari sekitar 11 pagi manakala Yeo di Taman Mutiara Melaka di Batu Berendam pada 23 Jan sekitar 10 pagi.
Sementara Danesh yang bekerja di sebuah kilang di Pahang di dapati melakukan kesalahan tersebut di Pantai Klebang pada 1 Jan, sekitar 3 petang.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah mahkamah.
Dalam rayuan, kesemua OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan masing-masing mempunyai tanggungan, baru mendapat pekerjaan dan faktor kesihatan.
Bagaimanapun Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SWCorp Dewira Sheera Norman, Abd. Hadi Abd. Wahab dan Muhammad Syarihul Mohd. Dzahir masing masing mencadangkan satu hukuman setimpal berbentuk pemulihan kepada OKS dan pengajaran kepada masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM500 masing-masing ke atas Mohamad Faez dan Danesh serta diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 12 jam, manakala Yeo di denda RM700 dengan 10 jam khidmat masyarakat.
Kesemua OKS juga diperintah untuk menamatkan jam khidmat masyarakat tersebut dalam tempoh enam bulan.- KOSMO! ONLINE














