PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Kedah (Langkawi), Pahang (Bentong) dan Negeri Sembilan (Jelebu).
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Miri (Telang Usan).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














