KUALA LUMPUR – Pelakon Chacha Maembong memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi kakaknya yang juga aktres, Emma Maembong susulan perpisahannya dengan DJ Kidd.
Bagaimanapun, Chacha atau nama asalnya Siti Aishah Ismail, 30, lebih selesa berperanan sebagai sistem sokongan utama berbanding mengulas situasi yang tidak dilaluinya sendiri.
“Saya tidak berani bercakap bagi pihak kakak saya kerana pada akhirnya, bukan saya yang melalui kehidupan hariannya. Jadi, saya tidak tahu situasi sebenar yang dilaluinya.
“Namun, apa yang saya tahu, apa sahaja keputusan yang dibuat, sama ada mereka sudah berpisah atau sebaliknya, saya tetap akan sentiasa berada di sisinya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di Rumah Terbuka iQIYI, semalam.
Pelakon filem Aku Bukan Terrorist itu turut memohon agar orang ramai memberikan ruang kepada Emma untuk melalui proses penyembuhan diri tanpa gangguan spekulasi liar yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Dia tetap kakak saya dan saya akan terus menyokongnya sampai bila-bila. Cuma saya berharap orang di luar sana dapat mendoakan yang terbaik buatnya kerana dia sudah melalui banyak perkara.
“Saya rasa sekarang adalah masa untuk dia melalui proses penyembuhan diri dengan tenang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Chacha memohon agar orang ramai tidak terus memberi tekanan kepada pihak terlibat memandangkan kedua-dua pihak dilihat sudah mula meneruskan kehidupan masing-masing dengan cara yang lebih positif.
“Jika boleh, saya tidak mahu orang luar terus memberi tekanan dengan gosip-gosip seperti ini. Kedua-dua pihak sudah memandang ke hadapan.
“Kakak saya juga sedang melalui kehidupan yang lebih bahagia ketika ini. Jadi, biarlah keadaan itu kekal seperti sekarang,” ujarnya.
Sebelum ini, DJ Kid mendedahkan dia tidak lagi mempunyai hubungan serius dengan Emma selepas setahun keakraban mereka menjadi perhatian netizen.
Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail, 34, bagaimanapun mengakui terkilan apabila hal kehidupan peribadi dikongsi secara umum, namun, memilih untuk reda dengan situasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














