TAMPIN – Lebih 50 buah premis termasuk rumah serta sekolah rosak dilanda ribut serta angin kencang di Gemas, di sini, petang tadi.
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, setakat pukul 7 petang tadi, antara penempatan yang teruk terjejas di Felda Pasir Besar, Kampung Londah, Ulu Ladang dan Taman Sentosa.
“Ada jalan kampung yang tidak dapat dilalui disebabkan kejadian ribut ini dan semua pihak masih lagi mendapatkan data sebenar jumlah premis yang terjejas beserta kerosakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Mangsa ribut di Felda Pasir Besar, Abd. Aziz Mohd. Nor, 55, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang, dia sedang membuat minum petang untuk dia serta ibunya, Jemiah Itam, 85, sebelum terdengar bunyi benda meletup-letup.
“Saya tengah goreng kodok. Saya tinggalkan sahaja dan segera bawa ibu ke rumah adik yang terletak bersebelahan. Takut juga apabila tengok keadaan atap habis terbang.
“Bahagian dinding atas rumah juga sudah runtuh. Kuat betul angin dan ini merupakan kejadian kali pertama rumah kami rosak teruk akibat ribut sejak ibu saya mendiami felda ini pertengahan tahun 60an,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














