KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 12 lelaki bagi membantu siasatan kes khianat dan rusuhan yang berlaku di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, permohonan reman terhadap semua suspek telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Selain itu, beberapa kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian turut dirampas. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Taman Shamelin, Cheras, diceroboh lebih 50 individu bertopeng, Ahad lalu.
Kejadian itu dikesan dalam satu rakaman video berdurasi 1.11 saat tular yang memaparkan kumpulan individu dengan sebahagian besarnya berpakaian hitam dan bersenjata, menyerbu masuk kawasan KTV berkenaan.
Berdasarkan rakaman video itu, sebuah lori dilihat melanggar pintu pagar premis KTV berkenaan dan merosakkannya sebelum sekumpulan individu masuk melalui ruang yang ada.
Rakaman berkenaan juga menunjukkan kumpulan suspek yang menceroboh itu memegang objek dipercayai batang besi dan kayu. – KOSMO! ONLINE














