KOTA TINGGI – Dua buah bot tunda dipercayai dari Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas memasuki perairan negara secara tidak sah, kelmarin.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, APMM Johor telah menahan kedua-dua bot berkenaan melalui hasil rondaan menerusi Op Jaksa, Op Todak 2/2021, Op Jangkar Haram, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar laut.
“Kedua-dua penahanan tersebut berlaku di dalam Perairan Wilayah Malaysia dan berada di bawah bidang kuasa penguatkuasaan pihak berkuasa negara.
“Bot-bot berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk memasuki atau beroperasi di perairan Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM), sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kedua-dua bot tunda tersebut disyaki memasuki dan berada di perairan Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, perintah penahanan awal telah dikeluarkan terhadap kedua-dua bot tunda berkenaan dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tanjung Sedili, Maritim Negeri Johor bagi siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














