PETALING JAYA – Disayangi ramai, pelakon Nam Ron tampil mempertahankan Que Haidar dengan berharap aktor tersebut agar tidak hilang sekali lagi daripada dunia hiburan tanah air selepas namanya kembali meledak atas beberapa dakwaan ketika ini.
Menurut Nam Ron, dia akan terus mempertahankan Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar kerana enggan lagi melalui fasa kehilangan anak seni berbakat besar.
“Saya berdiri bersama Que Haidar.
“Pernah meninggalkan kerjaya, impian dan cita-cita demi untuk keluarga.
“Pernah merasa kehilangannya dalam dunia seni — rindu untuk melihatnya beraksi,” katanya dalam Threads.
Dalam masa sama, dia menitipkan semangat buat Que supaya tidak mengalah meski ditabur pelbagai fitnah.
“Kini ketika dia kembali untuk mengubati rindu kami, dia cuba dirampas semula dari kami.
“Tolong jangan menghilang lagi. Terus berdiri dan lawan.
“Jangan menyerah, aku tahu kau kuat,” katanya lagi.
Terdahulu, nama Que meledak selepas bekas isterinya, Linda Jasmine memberi bayangan seolah-olah dia bercerai dengan bekas suaminya itu pada Julai 2024 disebabkan mahu melindungi anak-anak mereka daripada kejahatan.
Perkara tersebut mendapat pelbagai respons termasuk rakan artis dan ahli keluarga Que.
Untuk rekod, Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar. – KOSMO! ONLINE














