PUTRAJAYA- Anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
Perkara itu disahkan peguam Asnida, Yu Ying Ying ketika dihubungi media hari ini.
Ying Ying berkata, Asnida akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Ya, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) (Akta SPRM 2009) di Mahkamah Jalan Duta esok,” katanya.
Difahamkan, Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berkaitan dengan kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta.
Individu yang gagal mematuhi notis itu boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ying Ying mengesahkan anak guamnya itu Asnida diambil keterangan bermula jam 10 pagi tadi dan selesai kira-kira lima jam kemudian di Ibu Pejabat SPRM.
Bagaimanapun, setakat ini hanya Asnida yang hadir ke SPRM untuk direkodkan manakala, tiga lagi anak Tun Daim tidak kelihatan biarpun telah diarahkan hadir memberi keterangan hari ini.
Tiga lagi anak Tun Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.
Buat masa ini, tiada makluman mengenai kehadiran ketiga-tiga individu itu daripada SPRM sama ada hadir memberi keterangan hari ini atau esok.
Media sebelum ini melaporkan, empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham diarahkan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Sebelum ini, SPRM menyerahkan Notis Kesan Individu ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi berkaitan perisytiharan aset. – KOSMO! ONLINE














