PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perlis dan Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Batang Padang),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah Kelantan (Jeli dan Kuala Krai), Terengganu (Hulu Terengganu) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut) turut berada dalam kawasan amaran,” katanya.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), dan Negeri Sembilan (Jelebu).
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Sri Aman, Betong (Betong), Sarikei (Pakan), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Limbang
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Tawau (Tawau dan Lahad Datu).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














