PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal berdepan detik cemas apabila kenderaan yang ditunggangnya merempuh sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang di tengah jalan dalam satu kejadian semalam.
Menerusi satu hantaran video di media sosial oleh @MuhdSufi, rakaman kamera 360 darjah itu memaparkan sebatang pokok besar tumbang secara mengejut menghalang laluan jalan di sebuah kawasan hutan.
Akibat jarak yang terlalu dekat dan keadaan pokok yang sudah pun berada di atas jalan, mangsa tidak sempat menekan brek sepenuhnya lalu merempuh dahan pokok tersebut sehingga terjatuh.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan selamat dan berjaya bangun dengan segera tanpa mengalami kecederaan serius.
Tindakan pantas mangsa yang terus berdiri untuk memberi isyarat amaran kepada pengguna jalan raya dari arah bertentangan turut mendapat pujian orang ramai bagi mengelakkan kejadian rempuhan berantai.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa syukur kerana mangsa tidak dihempap secara terus oleh batang pokok berkenaan yang tumbang hanya beberapa saat sebelum mangsa tiba di lokasi.
“Nasib baik sempat brek sedikit, kalau tidak mungkin impak lebih teruk. Paling penting dia terus bangun dan fikir keselamatan orang belakang,” kata seorang pengguna Ran Zo.
“Alhamdullilah semua selamat, kalau mereka ini laju sikit mungkin jatuh atas mereka dah,” kata pula pengguna Farid Shah.
Kejadian tersebut menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada terutama ketika melalui laluan berhutan dan berbukit yang berisiko berlakunya kejadian pokok tumbang secara tiba-tiba. – KOSMO! ONLINE













