PETALING JAYA – Siasatan untuk membetulkan kesilapan status seseorang yang telah diisytiharkan meninggal dunia hendaklah dilakukan dengan kadar segera kerana ia tidak susah ekoran mempunyai dokumen dan saksi untuk membuktikan individu itu masih hidup.
Pengasas Yayasan Rapera yang juga peguam, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen berkata, kes seperti itu mungkin bukan satu kecuaian kerana ia berlaku dalam keadaan luar biasa.
Katanya, tambahan pula bapa lelaki berkenaan telah membuat pengecaman mayat dan percaya si mati itu adalah anak mereka.
“Ia kes unik. Pihak berkuasa perlu membuat siasatan untuk membetulkan keadaan sebaik ia dilaporkan. Bukan susah pun, dokumen dan saksi ada untuk membuktikan identitinya,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, Mohd. Rosli Idris, 54, hidup hampir 17 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah selepas keluarganya tersilap mengecam mayat individu lain yang mempunyai wajah hampir seiras dengannya pada 2008.
Dia mendakwa berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan termasuk gagal mendapatkan pekerjaan dan terpaksa bergantung kepada laporan polis sebagai bukti dirinya masih hidup.
Menurut Jahaberdeen, kegagalan pihak berkuasa membetulkan keadaan sangat tidak bertanggungjawab dan cuai yang menjejaskan kehidupan rakyat hingga lelaki itu terpaksa pergi ke mahkamah untuk mendapatkan perintah bagi memaksa mereka bertindak.
Tambahnya, kecuaian dalam urusan pentadbiran bukan perkara baharu dan kesilapan sedemikian boleh membawa implikasi besar kepada kehidupan seseorang.
Sementara itu, peguam sivil dan syarie, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, keadaan seumpama itu boleh berlaku atas beberapa faktor termasuk penipuan, salah nyataan atau kesilapan semasa proses pendaftaran kematian dibuat.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia juga berkata, antara punca yang memungkinkan insiden seperti itu berlaku ialah perbuatan fraud.
“Perkara itu bersandarkan kepada Kaedah 16 Kaedah-Kaedah Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2019 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian untuk membatalkan pendaftaran kematian.
“Dalam konteks kes Rosli, saya percaya alasan yang lebih sesuai untuk membatalkan daftar sijil kematiannya adalah melalui salah nyataan atau kesilapan,” katanya.
Menurut Muhammad Hariz, terdapat dua pilihan sama ada mengemukakan aduan kepada JPN atau mendapatkan deklarasi daripada mahkamah sebelum urusan pembetulan rekod dibuat di agensi tersebut.














